3/09/2013 05:34:00 pm
7 MAC - Seramai 8 orang AJK Tertinggi SDJ Al Ikhwan Taman Bernam (SDJAITB) telah membuat lawatan rasmi ke Pejabat Agama Islam Slim River (PAISR). Rombongan tersebut diketuai sendiri oleh Pengerusi SDJ Al Ikhwan. Agenda utama lawatan tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan antara pihak PAISR dengan pihak AJK SDJAITB. yang baru dipilih. Sesi tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Amir iaitu Pegawai Tadbir Agama (PTA).
Selain sesi taaruf, mesyuarat juga berbincang tentang peraturan pengurusan Surau Diri Jumaat yang temaktub dalam booklet yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Perak (MAIP), Pihak SDJAITB akan berusaha membuat penyelarasan dalam tempoh yang terdekat untuk mematuhi segala garis panduan yang termaktub dalam buku tersebut. Kedudukan perkembangan proses pembinaan Masjid Taman Bernam juga turut disentuh memandangkan perkembangannya yang agak perlahan ketika ini.
Pihak PAISR turut bersetuju dengan pendekatan pengurusan kewangan yang sedang dilakukan untuk menjadikan pengurusan kewangan SDJAITB berada pada tahap yang baik.
Sesi perbincangan berakhir sekitar pukul 4.25 petang. [
Foto]
3/06/2013 07:30:00 am
6 MAC - Semenjak Surau Al Ikhwan Taman Bernam dinaikkan taraf kepada Surau Diri Jumaat, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak pengurusan surau yang lama dan baharu untuk memberi kemudahan yang selesa kepada para ahli qariah jamaah Jumaat. Memandangkan saiz surau yang agak kecil, maka pihak pengurusan surau sangat memahami kesukaran yang dialami oleh sebahagian para jamaah Jumaat yang terpaksa melaksanakan solat Jumaat di tengah panas.
Untuk memenuhi keperluan solat Jumaat beberapa ubah suai fizikal surau dilakukan. Bermula dengan pembinaan ruang solat terbuka di sebelah kanan surau yang dilakukan sebelum pengisytiharan Surau Diri Jumaat lagi. Selepas itu pengubahsuaian tingkap kepada pintu gelongsor di sebelah kana surau kerana mematuhi arahan pegawai Istimbat Hukum dari Majlis Agama Islam Perak. Melalui pengubahsuaian itu membolehkan saf solat Jumaat digerakkan ke hadapan.
Seterusnya, merobohkan struktur binaan tandas bagi membolehkan ruang solat yang lebih luas. Serentak dengan itu tingkap bahagian hadapan sebelah kiri pula diubah suai kepada pintu gelongsor untuk menambahkan lagi ruang solat. Walau bagaimanapun berdasarkan solat Jumaat pada 1 Mac yang lepas, masih ada lagi jamaah Jumaat yang terpaksa bersolat di luar surau.
Untuk maklumat para ahli qariah Jumaat, pihak pengurusan surau sedang berusaha mendapatkan sumbangan orang awam untuk projek pembinaan binaan tambahan pada bahagian belakang surau. Jika usaha ini berjalan dengan lancar, Insya Allah tidak lama lagi masalah limpahan para jamaah Jumaat akan dapat di atasi.
Masalah parkir juga turut mendapat perhatian kami. Kebanjiran hampir 400 orang para jamaah Jumaat setiap kali solat Jumaat menyebabkan bilangan kenderaan juga semakin meningkat. Ada yang terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di hadapan premis-premis persendirian. Justeru, pembinaan tangga sedang dilakukan bagi menghubungkan Jalan Bernam Utama dan Jalan Baung. Apabila projek ini siap sepenuhnya, para ahli jamaah Jumaat boleh meletakkan kenderaan di atas bahu jalan Jalan Bernam Utama dan seterusnya menggunakan tangga tersebut untuk turun ke Jalan Baung dan seterusnya ke surau.
Usaha juga sedang digerakkan untuk mengumpul dana bagi menaik taraf bahagian dapur surau. Kerja-kerja menaik taraf dapur surau dilihat sangat penting lebih-lebih lagi bulan Ramadhan Al Mubaraq akan muncul kira-kira empat bualn lagi.
Begitulah seriusnya pihak pengurusan surau yang baru bagi memastikan tahap keselesaan para jamaah Jumaat dan jamaah Rawatib Taman Bernam mendapat keselesaan yang sebaik-baiknya.
Sehubungan dengan itu, bagi pihak pengurusan SDJAITB sangat berterima kasih kepada para jamaah Jumaat yang menyumbangkan derma berupa wang ringgit semasa hari Jumaat. Melalui sumbangan tuan-tuan itu serta sumbangan para dermawan, sedikit demi sedikit kemudahan prasarana surau dapat ditingkatkan. Teriam kasih sekali lagi.
3/05/2013 10:00:00 pm
20 FEBRUARI - Mesyuarat AJK Induk SDJ Al Ikhwan Taman Bernam kali pertama telah diadakan di surau. Majlis dipengerusikan oleh tuan pengerusi. Banyak perkara dibincangkan. Antara agenda terpenting ialah proses penggubalan pelembagaan surau yang dilihat semakin perlu. Sebagai langkah permulaan mesyuarat bersetuju untuk merujuk mana-mana perlembagaan persatuan yang telah sempurna untuk dijadikan rujukan.
Selain daripada itu mesyuarat juga memutuskan untuk mewujudkan AJK Tertinggi SDJ Al Ikhwan untuk memutuskan sebarang perkara dasar atau meluluskan sesuatu perkara yang difikirkan sangat mustahak. Ini menjadikan AJK Tertinggi sebagai sekumpulan pemikir dan sekali gus badan lagislatif yang merangka, menggubal dan memutus perkara-perkara dasar organisasi sebelum dibawa kepada pengetahuan Jawatankuasa Induk SDJ Al Ikhwan untuk dimurnikan.
3/05/2013 09:17:00 pm
|
Ustaz Mohamad Khairul Azman |
16 FEBRUARI - Mesyuarat Agung Surau Al Ikhwan Taman Bernam telah diadakan pada hari ini dengan jayanya. Mesyuarat agung pada kali ini agak meriah kerana melibatkan pemilihan pucuk pimpinan baru setelah tempoh mandat AJK yang sedia ada tamat. Seramai 41 orang ahli jamaah Surau Al Ikhwan hadir bagi menjayakan mesyuarat tersebut. Mesyuarat agung dipengerusikan oleh Dr.(H) Hj.Zulbahari bin Abu Bakar.
Sesi pemilihan ahli jawatankuasa baru dipengerusikan oleh Tn.Hj.Abu Bakar bin Ismail. Sesi pemilihan yang dijangka sengit tidak berlaku kerana hampir semua jawatan dimenangi tanpa bertanding. Hanya jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi sahaja yang memperlihatkan pertandingan empat penjuru. Walau bagaimanapun mengikut format undian secara online, mereka yang mendapat dua undian tertinggi akan menerajui AJK Surau Al Ikhwan, manakala dua orang yang tidak berjaya akan diserap sebagai AJK Biasa.
Tahniah kepada Tn.Hj.Mohamad Khairul Azman bin Ajuhary yang dipilih sebagai Pengerusi yang baru serta AJK baru yang lain. Semoga dengan pemilihan saf kepimpinan yang baru ini akan dapat menjadikan Surau Al Ikhwan sebagai institusi keagamaan yang tersohor di Tanjong Malim.
3/04/2013 11:01:00 pm
21 Disember 2012 - Tercatat dalam sejarah Surau Al Ikhwan, Taman Bernam apabila pada hari ini surau ini telah dinaik taraf sebagai Surau Diri Jumaat dan dikenali sebagai SDJ Al Ikhwan, Taman Bernam. Majlis pemasyhuran tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Syeikh Muhamad Nor bin Mansur Al Hafiz, AJK Fatwa Negeri Perak bagi pihak Majlis Fatwa Negeri Perak.
Majlis dimulakan dengan tazkirah Jumaat oleh Yg.Berbahagia Dato' Syeikh Muhamad Nor bin Mansur Al Hafiz, seterusnya majlis pemashuran dan khutbah Jumaat disampaikan oleh pegawai Istimbat Hukum, Majlis Agama Islam Negeri Perak.
Dianggarkan seramai 400 orang ahli qariah Jumaat SDJ Al Ikhwan turut serta dalam majlis tersebut. Semoga peristiwa besar yang berlaku pada hari ini akan menjadi titik tolak ke arah pembinaan Masjid Taman Bernam yang akan menampung keperluan jamaah Jumaat pada masa akan datang.<
Foto>
Kami tidak bertanggungjawab atas kehilangan atau kerosakan maklumat yang anda alami semasa menggunakan laman ini. Sekian terima kasih.